Thursday, March 4, 2010

SANGKAR MODEN BERPAGAR BESI: SKIM PENEMPATAN SEMULA UNTUK PENAN


Murum, Belaga (Disember 2009): Masyarakat Penan di Peleiran ulu Sungai Murum menyifatkan tindakan Kerajaan untuk menempatkan mereka ke Skim Penempatan Semula demi memberi laluan kepada pembinaan empangan hidro Murum adalah umpama menempatkan Penan dalam “Sangkar Moden Berpagar Besi”.


Beberapa penduduk kampung Penan berkata bahawa kerajaan Sarawak membuat empangan Murum kerana sengaja untuk memindah orang-orang Penan supaya hidup dalam Sangkar. Masyarakat Penan tidak akan bebas lagi hidup dan memiliki tanah dan hutan yang luas. Mereka berpendapat bahawa kehidupan Penan di Skim Penempatan Semula nanti adalah seperti burung dalam sangkar berpagar besi.


Encik Jalong Bujang dari Long Luar sedar bahawa projek pembangunan empangan yang telah dibina di Sarawak telah dengan nyatanya gagal memperbaiki keadaan hidup masyarakat yang terlibat. Contohnya, penduduk-penduduk di Skim Penempatan Semula Batang Ai dan Bakun Asap-Koyan. Beliau berkata bahawa ramai penduduk di sana sedang menghadapi banyak masalah, kesusahan dan kesempitan dalam kehidupan harian mereka yang sehingga kini masih belum dapat diselesai oleh pihak kerajaan.


Puan Kipeh Tingang sangat susah hati kalau dipaksa berpindah. Kami telah melihat dan menyaksi bahawa keadaan kehidupan masyarakat Penan Talun, Long Belangan di Skim Penempatan Semula Bakun Asap-Koyan lebih teruk lagi dibanding dengan sebelum-nya mereka dipaksa pindah akibat pembinaan empangan hidro-elektrik Bakun, kata beliau.


Masyarakat Penan di kawasan Sungai Peleiran-Murum menyatakan bahawa mereka juga akan tidak terkecuali dari masalah-masalah projek empangan seperti di Batang Ai dan Bakun sekiranya kerajaan masih hendak meneruskan pembinaan empangan Murum.


TK Alung Ju, Long Singu berkata bahawa penduduk kampung sangat bimbang akan kesan-kesan dan impak-impak projek empangan Murum ke atas masyarakat mereka dan generasi akan datang. Beliau merayu kepada Kerajaan Sarawak supaya menghentikan pembinaan projek empangan hidro-elektrik Murum demi kebaikan dan kesejahteraan hidup masyarakat Penan di kawasan Peleiran dan Ulu Murum.


Semasa lawatan SCANE ke kampung-kampung Penan yang terjejas oleh empangan Murum, ramai Penan menyatakan kebimbangan mereka dengan tindakan kerajaan yang hanya hendak memindah masyarakat Penan dari tanah adat mereka. Penduduk-penduduk kampung Penan berpendapat bahawa walaupun rumah-rumah yang akan dibina di Skim Penempatan Semula itu cantik-cantik belaka tapi tidak ada gunanya kalau kehidupan seperti dalam sangkar berpagar besi dan tanah untuk hidup pun tidak ada lagi. -SNews


No comments:

Post a Comment