Thursday, March 4, 2010

EMPANGAN MURUM: KEBIMBANGAN DAN KERISAUAN MASYARAKAT PENAN




Kuching (September 2009): Masyarakat Penan sedang hidup dalam keadaan kebimbangan dan kerisauan oleh kerana pembinaan projek empangan hidro Murum oleh kerajaan negeri Sarawak di Sungai Murum dalam daerah Belaga.


Beberapa ketua dan wakil-wakil Penan telah membuat lawatan ke Kuching baru-baru ini untuk berjumpa dengan kerajaan dan orang awam berkenaan dengan masalah yang mereka hadapi. Mereka adalah wakil semua penduduk kampung-kampung Penan di Long Wat, Long Luar, Long Tangau, Long Menapa, Long Singu, Long Malim dan Long Umba di kawasan Sungai Peleiran, ulu Murum. Terdapat lebih kurang 1,000 orang Penan yang hidup menetap di kawasan tersebut.


Semasa persidangan media di Bandaraya Kuching mereka berkata bahawa semua penduduk kampung dalam keadaan tidak senang hati dan penuh dengan kebimbangan, kerisauan dan ketangisan kerana sangat bimbang dengan keadaan kehidupan sejak kerja-kerja pembinaan projek empangan Murum dijalankan setahun lalu.


Encik Suie Alung dari Long Luar berkata sekiranya pembinaan projek empangan Murum masih diteruskan maka tanah adat mereka akan dibanjiri termasuklah kampung-kampung, harta benda, kebun-kebun, tanah huma dan temuda, buah-buahan, tapak perkuburan dan sebagainya. “Kawasan hutan dan sumber-sumber yang mendukung kehidupan kami akan turut musnah. Sekaligus, kami akan dipaksa untuk berpindah ke suatu kawasan yang belum kami ketahui dan tidak bersesuaian dengan keadaan kehidupan kami, jelas beliau.


Encik Suie menyatakan bahawa masyarakat Penan tidak pernah memohon projek empangan hidro-elektrik seperti empangan Murum. “Selama ini, kami sentiasa memohon kepada kerajaan untuk memberi projek pembangunan seperti Sekolah, Klinik Perubatan, Paip air bersih, Pertanian dan sebagainya, kata beliau.


Encik Raymond Abin, Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Koservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE) mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak tidak sepatutnya membina Empangan Murum kerana akan membawa banyak masalah kepada masyarakat Penan di sana. Beliau berkata masyarakat Penan di kawasan Peleiran, Ulu Murum tidak memerlukan projek empangan tersebut. Sekiranya kerajaan hendak memajukan masyarakat Penan mengapakah tidak diberi projek-projek pembangunan yang setimpal dan sesuai dengan kehendak dan keadaan hidup mereka pada masa ini, tambah beliau.


Projek empangan Murum telah mula dibina sejak setahun lalu sebelum terdapatnya kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Empangan hidro Murum dengan kos 3 billion Ringgit dijangka akan menjana 944 Mw kuasa elektrik.. Empangan Murum adalah salah daripada sebuah 12 projek empangan hidro yang akan dibina oleh kerajaan Negeri Sarawak. -SNews



No comments:

Post a Comment