Thursday, March 4, 2010

ORANG ASAL GESA KERAJAAN HENTIKAN RANCANGAN PEMBINAAN EMPANGAN HIDRO ELEKTRIK


Kuching (Oktober 2009): Beberapa wakil masyarakat orang asal di Sarawak yang terancam akibat rancangan pembinaan projek empangan hidroelektrik telah menyeru kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Persekutuan Malaysia untuk menghentikan rancangan-rancangan pembinaan empangan di Sarawak. Wakil-wakil masyarakat Orang Asal tersebut adalah terdiri daripada suku Kayan, Kenyah, Iban, Penan dan Bidayuh yang menghadapi masalah dengan projek pembinaan empangan di kawasan Belaga, Baram, Batang Ai dan Bengoh.


Pada Seminar komuniti yang diadakan di sebuah hotel di Kuching baru-baru ini, mereka menyatakan bahawa pembinaan 12 buah lagi empangan hidro-elektrik secara besar-besaran bukan satu cara terbaik untuk membangunkan Sarawak kearah sebuah negeri maju di Malaysia. Ini oleh kerana pembinaaan empangan adalah suatu pembangunan yang mengancam kehidupan orang Asal dan alam sekitar di Sarawak.


Mereka berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya melaksanakan projek-projek pembangunan mapan dengan lebih tersusun dan seimbang untuk manfaat masyarakat Orang Asal dan rakyat jelata di Sarawak. Mereka menyatakan bahawa masyarakat orang Asal akan mengalami lebih banyak masalah sekiranya kerajaan akan meneruskan pembinaan projek-projek empangan di Sarawak.


Encik Philip Jau dari Baram berkata masyarakat Orang Asal sangat mengambil berat keadaan masa depan masyarakat yang terlibat dan terancam oleh pembinaan projek-projek empangan hidro. Beliau berkata bahawa masyarakat telah sedar bahawa projek empangan membawa kesan-kesan dan impak-impak yang lebih teruk kepada masyarakat orang asal baik dari segi kehidupan, sosio-ekonomi, sosial, budaya dan rohani.


“Dasar pembangunan Kerajaan Negeri Sarawak yang mengutamakan pembangunan mengekploitasi sumber-sumber semulajadi dengan pembinaan empangan mega akan mengakibatkan kerosakan alam sekitar serta kehidupan masyarakat Orang Asal baik pada masa terdekat ini mahu pun dalam jangka masa panjang”, kata Philip.


Tua Kampung Panai Erang dari Ba Abang, Baram, menyatakan bahawa masyarakat Penan membantah projek pembinaan empangan hidroelektrik dalam kawasan tanah adat mereka di Baram. Empangan hidro bukan suatu projek pembangunan yang baik, hanya bertujuan memaksa masyarakat kami berpindah dan ditempatkan semula jauh dari kawasan tanah adat kami, kata beliau.


Mereka menyarankan Ketua Menteri Sarawak untuk merangka dasar-dasar pembangunan mapan yang mesra rakyat dan mengikut kemampuan dan aspirasi masyarakat Orang Asal. Mereka meminta kerajaan menamatkan skim-skim pembangunan dan projek berskala besar yang mengancam dan menjejas hak, kehidupan, tanah adat dan hutan serta kesenambungan alam sekitar di Sarawak.


Manakala Encik Raymond Abin, Penyelaras Kebangsaan, Sarawak Conservation Alliance for Natural Environment (SCANE) berkata bahawa Sarawak tidak perlu membina banyak empangan hidroelektrik kerana tenaga elektrik dari empangan Bakun adalah lebih dari mencukupi untuk keperluan di seluruh negeri. Beliau menambah bahawa pembinaan empangan berskala besar-besaran adalah suatu pembaziran wang rakyat dan akan membebankan ekonomi Negara dalam masa jangka panjang. -SNews


No comments:

Post a Comment