Thursday, February 11, 2010

Siapa yang menerima kesan dari Empangan Baram


Sekurang-kurangnya 20,000 penduduk orang asal akan terancam dan terpaksa dipindah akibat pembinaan empangan Baram. Mereka ini terdiri daripada suku Orang Asal Kayan, Kenyah dan Penan di mana rumah-rumahpanjang dan kampung-kampung terletak di sepanjang tebingan sungai Baram atau dikenali sebagai Telang Usan. Kedudukan kampung-kampung mereka berada di kawasan bahagian hilir, hulu dan juga sekitar tapak projek empangan.


Kampung/Rumah Panjang yang tinggal di kawasan bahagian hilir empangan adalah seperti Long Laput, Sungai Dua, Sri Kenawan, Uma Bawang, Long Miri( Daleh Pelutan), Long Pilah, Long Nakan dan Long Kesseh. Manakala di hulu sungai dan yang berada dalam kawasan takungan empangan adalah Long Na’ah, Long Liam, Long Keluan, Long San, Long Selatong (kiri dan kanan), Long Apu, Long Julan Asal, Long Julan Pelutan, Long Anap, Long Palai, Long Je’eh, Long Moh, Long Sela’an dan Long Semiyang termasuk juga penduduk Sungai Akah iaitu Long Beku, Ba Abang, Long Tap dan Long Tebangan. Kampung-kampung yang dalam Sungai Silat adalah Long Selawan, Long Makabar dan beberapa kampung-kampung Penan lagi di Sungai Silat.

Empangan Baram akan menenggelamkan lebih kurang 38,900 hektar ( 389sq km) tanah dan hutan. Kawasan tersebut kebanyakkannya adalah Tanah Adat termasuk tanah temuda, kawasan bercucuk tanam, kebun, kampung, gereja, tanah perkuburan, hutan komuniti dan tapak-tapak peninggalan bersejarah. Mereka akan kehilangan rumah panjang mereka, kampung, harta benda, tanah dan hutan disebabkan kesan dari penenggelaman dan kemusnahan oleh empangan Baram.


Kawasan tadahan empangan Baram akan meliputi seluas 896,600 hektar (8,966sq.km). Di mana keseluruhan kawasan tersebut adalah kampung-kampung dan tanah adat yang diduduki oleh masyarakat Orang Asal seperti Kenyah, Kayan, Kelabit, Saben, Penan dan lain-lain.


Empangan Baram juga turut akan menenggelamkan sekolah-sekolah kerajaan, klinik-klinik kesihatan, lapangan terbang dan juga bangunan kemudahan awam lain. Termasuk juga kem-kem syarikat pembalakan yang bergiat aktif di kawasan tersebut. Jalan-jalan balak utama yang diguna oleh penduduk rumah panjang Kedaya Telang Usan juga akan ditengelami oleh takungan empangan Baram


1 comment: