4hb Ogos 2010
Regent Hotel, Bintulu
Sepanjang tahun lepas (2009), kami telah dilawati oleh pelbagai pihak yang membuat kajian-kajian berkaitan dengan projek empangan Murum. Kami diberitahu bahawa suatu Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar [Social and Environmental Impact Assessment (SEIA)] telah dijalankan oleh Kerajaan demi mengkaji akan kesan-kesan projek empangan Murum ke atas masyarakat kami.
Setakat ini kami belum tahu perkembangan lanjut berkenaan laporan kajian tersebut serta laporan-laporan berkaitan samada ianya telah siap dan sedia untuk diteliti oleh orang awam.
Di sini, kami ingin menyatakan bahawa sebelum laporan SEIA tersebut diluluskan, kami memohon kepada kerajaan dan terutamanya Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB) Sarawak yang bertanggungjawab untuk memberi peluang kepada orang awam supaya laporan SEIA tersebut diskrutini. Dan yang amat penting ialah pandangan dan maklumbalas kami ke atas laporan SEIA tersebut harus diambil kira dengan serius.
Sebagai masyarakat yang terjejas secara langsung oleh projek empangan ini, kami patut diberitahu berkenaan dengan perkembangan kajian tersebut terutamanya kesan-kesan dan impak-impak projek ke atas kami.
Kerajaan juga seharusnya menerangkan kepada kami tentang rancangan-rancangan pembangunan tertentu yang berkaitan dengan program penempatan semula, kehidupan dan masa depan kami.
Kami sangat khuatir dengan kerja-kerja binaan projek empangan Murum begitu giat dijalankan di tapak projek sedangkan laporan SEIA tersebut belum tentu mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan. Apakah akan terjadi sekiranya laporan tersebut tidak diluluskan nanti dan adakah kerajaan akan membaik-pulih tanah, hutan, sungai dan sumber-sumber kami yang telah dimusnah?
Sehubungan dengan laporan SEIA tersebut, kami juga menyeru kepada kerajaan untuk memaklumkan kami berkenaan dengan rancangan kawasan penempatan semula (resettlement area) untuk kami. Kami telah mengemukakan cadangan berkenaan dengan kawasan penempatan semula yang kami pilih seperti yang dinasihatkan oleh kerajaan, iaitu di Sungai Metalon dibahagian hulu Sungai Peliran. Namun pada masa ini, kawasan yang dicadang tersebut sedang dibuka oleh Syarikat Shin Yang untuk tujuan perladangan kelapa sawit berskala besar. Syarikat Shin Yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran dari kami. Sekiranya Shin Yang dibiar membuka dan menebang hutan secara meluas di kawasan tersebut maka masyarakat kami akan tidak ada hutan lagi untuk meneruskan kehidupan. Maka, tidak ada gunanya kami untuk ditempatkan di kawasan tersebut sekira ianya dibangun dengan ladang kelapa sawit.
Kenyataan oleh: En. Surang Alung Ju, Pengerusi
No comments:
Post a Comment